Perjanjian nuklear tidak terjejas di bawah Trump

Beliau berkata perjanjian itu merupakan perjanjian antarabangsa dengan beberapa negara dan tidak hanya membabitkan perjanjian dua hala antara Amerika dan Iran.

“Saya tidak bimbang tentangnya kerana kami mempunyai pilihan… dan ia adalah perjanjian antarabangsa, ia bukan perjanjian dua hala antara Amerika dan Iran,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita yang mengerumuninya sebaik sahaja beliau keluar daripada bilik mesyuarat, tempat Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan Sesi Khas mengenai masalah dihadapi etnik Rohingya di Myanmar, di sini, hari ini.

Mohammad Javad berkata perjanjian nuklear antara Iran dan negara 5+1 (Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China dan Rusia, campur Jerman) dimeterai semasa di bawah pentadbiran Obama sebagai presiden.

Perjanjian itu yang dimuktamadkan pada Julai 2015, dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), jelas menunjukkan tahap diplomasi Iran, di samping memaparkan betapa pentingnya peranan dialog dan rundingan untuk menangani masalah dan krisis, menurut laporan.

Laporan juga menyatakan menerusi perjanjian bersejarah itu, kumpulan 5+1 dan Iran telah mencapai perjanjian yang ditentusahkan dan komprehensif untuk mengehadkan aktiviti nuklear Iran yang merupakan isu sensitif dan satu pencapaian dari segi pengawalan senjata nuklear dan keselamatan antarabangsa.

Perjanjian itu yang dilaksanakan pada 16 Januari, 2016 telah mewujudkan formula yang kukuh dan efektif dalam menyekat semua ruang untuk Iran memperoleh bahan bagi senjata nuklear dan sekali gus dapat mengesan dan menghalang sebarang usaha oleh Iran untuk menghasilkan senjata nuklear pada masa depan. –Bernama

Related Articles