Perintah berkurung ESSZONE dilanjutkan ke fasa 47

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abd Rashid Harun, berkata fasa baharu perintah berkurung di kawasan itu dikuatkuasakan bermula jam 7 malam esok hingga 7 Ogos depan.

Peraturan itu dikuatkuasakan di perairan tujuh daerah dalam kawasan ESSZONE iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran sejak dua tahun lalu.

Berikutan itu, orang ramai di daerah terbabit diingatkan agar tidak berada di lokasi yang diisytiharkan kawasan perintah berkurung bermula jam 7 malam hingga 5 pagi.

Katanya, langkah meneruskan perintah berkurung itu bagi mengekang pencerobohan pengganas dan ancaman penculikan.

“Berdasarkan maklumat, pengganas termasuk kumpulan Abu Sayyaf dari selatan Filipina masih cuba menceroboh kawasan ESSZONE untuk melakukan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan (KFR).

“Sehubungan itu, perintah berkurung perlu diteruskan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan yang berada di daratan di kawasan ESSZONE,” katanya di Kota Kinabalu pada Jumaat.

Abd Rashid berkata, orang ramai yang perlu turun ke laut untuk melakukan aktiviti perikanan atau laluan mendesak ketika perintah berkurung perlu mendapatkan permit daripada ketua polis daerah di kawasan berkenaan.

Related Articles