Mukhriz berkata, parti itu bagaimanapun tidak berhasrat mendapatkan penjelasan Istana Negara atau Pejabat Perdana Menteri berhubung kenyataan itu memandangkan pertemuan empat mata antara Dr Mahathir dan Tuanku Abdul Halim adalah perbincangan sulit.
“Kami hormati institusi istana dan ia adalah perbincangan tertutup, inti patinya tidak perlu didedah kepada umum. Biarlah setakat itu sahaja, Bersatu tidak mohon sebarang penjelasan, namun terkilan kerana kenyataan dikeluarkan Najib mengenai titah baginda tidak tepat,” katanya, memetik laporan Sinar Online, hari ini.
Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata, terdapat banyak kesilapan fakta dalam kenyataan yang dikeluarkan Najib pada 21 September lalu.
“Antara kesalahan ketara ialah lokasi pertemuan, jawatan Dr Mahathir dan parti diwakili. Malah Gerakan Selamatkan Malaysia diasaskan sebelum Bersatu diwujudkan.
“Saya juga hairan bagaimana individu yang menjadi tajuk perbincangan sulit itu boleh mengeluarkan kenyataan media dengan menegaskan baginda menolak Deklarasi Rakyat,” katanya.
Mukhriz berkata, sebarang kenyataan rasmi Tuanku Abdul Halim sepatutnya dikeluarkan oleh Istana Negara, Istana Anak Bukit atau melalui Setiausaha Sulit baginda.
“Dr Mahathir sendiri tidak mengeluarkan kenyataan berkaitan apabila Tuanku Abdul Halim tidak mendedahkan intipati perbincangan untuk pengetahuan umum,” katanya lagi.
Pada 16 September, Dr Mahathir menghadap Tuanku Abdul Halim bagi menyerahkan memorandum Deklarasi Rakyat yang didakwa mengandungi 1.3 juta tandatangan rakyat Malaysia, di Istana Anak Bukit, Kedah, bagi menuntut perletakan jawatan Najib sebagai perdana menteri.
Pertemuan itu berlangsung selama kira-kira satu jam 15 minit.
Jabatan Perdana Menteri kemudiannya mengeluarkan kenyataan dengan memetik Najib sebagai berkata, Tuanku Abdul Halim telah menjelaskan kepada Dr Mahathir bahawa Deklarasi Rakyat tidak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Baginda juga bertitah tidak boleh mencampuri usaha dijalankan Bersatu dan sebarang tindakan seharusnya menerusi Parlimen atau pilihan raya.