Perbicaaraan kes menghasut MB Kedah pindah ke Mahkamah Tinggi

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor untuk memindahkan perbicaraan dua pertuduhan yang didakwa ke atasnya dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Sanusi, 50, selaku pemohon untuk memindahkan kes berkenaan.

Stay up-to-date by following FMT’s Telegram channel
“Selepas meneliti hujahan bertulis, afidavit sokongan, notis usul dan hujahan lisan kedua-dua belah pihak iaitu pemohon dan responden, mahkamah ini membenarkan permohonan pemohon untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi,” katanya.

Mengikut dua pertuduhan itu, Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak pada 11 malam, 11 Julai tahun lepas.

Dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama iaitu denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Sanusi diwakili peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud dalam prosiding pendengaran permohonan tersebut.

Pada 11 Jan lepas, Sanusi mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes dan menggantung perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Alasan permohonan dibuat ialah perbicaraan yang saksama tidak dapat dijalankan di mahkamah rendah selain mungkin berlaku kesulitan di sisi undang-undang.

Pada 24 Jan lalu, pihak pendakwaan turut membantah permohonan Sanusi itu untuk memindahkan kes hasutan dihadapinya ke Mahkamah Tinggi memandangkan kes itu telah ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang.

Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud berkata kes itu juga tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar atau kompleks seperti didakwa pihak pemohon.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Selayang Nor Rajiah Mat Zin menetapkan tarikh perbicaraan untuk dua pertuduhan yang dihadapi Sanusi pada 5, 8, 9, 13, 15, 16,19, 22 dan 23 Feb serta 11, 15 dan 18 Mac. -FMT

Related Articles