KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperhalusi cadangan bagi memperkasakan masyarakat khususnya golongan belia dengan pengetahuan yang tepat mengenai HIV/AIDS, langkah pencegahan dan isu berkaitan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata langkah itu adalah mengambil kira situasi semasa kes HIV/AIDS di Malaysia ketika ini yang menunjukkan peratusan laporan kes tertinggi adalah melibatkan golongan muda.
“Maka terdapat keperluan untuk memperluas dan memperhebat program pencegahan, kawalan dan rawatan berkaitan HIV/AIDS memandangkan taburan kes HIV/AIDS mengikut umur menunjukkan 74 peratus kes yang dilaporkan adalah melibatkan golongan muda berumur antara 20 dan 29 tahun,” katanya dalam kenyataan media yang dibacakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Terdahulu, Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil 1/2024 di sini hari ini.
Katanya, antara cadangan lain yang dikemukakan dalam mesyuarat berkenaan ialah mewujudkan rumah perlindungan bagi mengendalikan jagaan susul bagi Orang Dengan HIV/AIDS (ODHA) yang tersisih daripada keluarga dan tiada sokongan serta meningkatkan keterjaminan pekerjaan dan pendidikan untuk ODHA. – BERNAMA