Penyelewengan subsidi serius, minyak masak sahaja cecah RM540 juta setahun – Johari

Mendedahkan perkara itu kepada Mingguan Malaysia, penyelewengan barangan bersubsidi begitu serius sehingga untuk minyak masak sahaja mencecah RM540 juta setahun, beliau menegaskan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu memainkan peranan memperhebatkan penguatkuasaan.

Menarik perhatian subsidi minyak masak, Johari memberitahu, dalam tempoh sebulan penggunaan minyak masak yang sepatutnya hanya 40,000 tan metrik tetapi akibat penyelewengan, kerajaan perlu membayar bagi penggunaan 85,000 tan metrik.

“Maknanya ada lebihan 45,000 tan metrik minyak masak yang tidak tahu ke mana perginya.

“Satu tan metrik kita bayar RM1,000 dan RM45 juta didarab dengan 12 bulan maknanya sudah RM540 juta, siapa yang untung? Ini yang kita hendak jaga,” katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen pada Jumaat.

Dalam pembentangan Bajet 2017 itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meng­umumkan subsidi sebanyak RM10 bilion merangkumi bahan api, gas memasak, pampasan tol dan pengangkutan awam.

Menurut Johari, kerajaan masih memberikan subsidi kepada rakyat namun penekanan harus diberikan bahawa setiap subsidi merupakan duit rakyat.

“Kita tidak mahu apabila subsidi yang diberikan ini digunakan orang lain untuk meraih keuntungan seperti jual diesel dan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi untuk kedai perniagaan dan eksport minyak ke luar negara.

“KPDNKK perlu main pe­ranan buat penguatkuasaan. Kita tidak mahu disebabkan harga murah, orang ambil ke­sempatan jual ke luar negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), Johari berkata, memang jelas GST memberi banyak kebaikan kepada negara namun ia masih dipertikaikan.

“Dahulu semua orang boleh berniaga pasal tidak daftar, kamu untung orang tidak tahu.

“Sekarang tidak boleh, kamu untung, pengilang hendak tahu sebab hendak tuntut cukai GST yang dibayar. Inilah keindahan GST,” kata beliau. – Utusan Online

Related Articles