Penutupan sebahagian jalan untuk projek TRX

Memetik laporan Kosmo Online, gangguan aliran trafik, lencongan atau penutupan ini akan dilaksanakan serta merta di kesemua lokasi-lokasi yang berkaitan berikutan kerja-kerja merobohkan jejantas sedia ada dan lain-lain kerja yang berkaitan dengannya bagi Projek Pembinaan Infrastruktur dan Jalan untuk Projek Pembangunan Tun Razak Exchange (TRX).

Penutupan tersebut akan dilaksanakan secara berterusan bermula dari 13 Ogos, pukul 12.01 pagi sehingga pukul 5 pagi (15 Ogos) di kesemua lokasi lencongan atau penutupan.

Maklumat mengenai penutupan jalan tersebut adalah seperti berikut; sebahagian Jalan Sultan Ismail iaitu dari persimpangan Jalan Imbi ke Jalan Kampung Pandan, laluan susur masuk ke Terowong SMART dari kawasan Bukit Bintang, keseluruhan jejambat Jalan Sultan Ismail-Jalan Kampung Pandan (kedua-dua arah), sebahagian Jalan Changkat Tambi Dollah menuju ke Jalan Sultan Ismail, sebahagian Jalan Barat menuju ke Jalan Sultan Ismail, sebahagian Jalan Sultan Ismail menuju ke kawasan Bukit Bintang, laluan susur keluar dari Terowong SMART menuju ke Jalan Sultan Ismail.

Sehubungan dengan itu, pengguna jalan raya adalah dinasihatkan supaya mematuhi kesemua papan tanda keselamatan dan tanda arah sementara bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Segala kesulitan yang timbul adalah amat dikesali.

Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan, sila hubungi TRX City Sdn Bhd (TRX City) di talian 03 2142 9688.

Related Articles