Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Azizul Hariff Hamzah, 36, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan dan setelah mendapati keterangan pembelaan tertuduh lebih kepada bersifat berfikir semula.
“Sepanjang keterangan pembelaan, tertuduh tidak menafikan dia berada di tempat kejadian, termasuk keterangan saksi pendakwaan pertama iaitu mangsa yang jelas dan pasti dapat mengecam tertuduh,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 7 Jun, tahun lalu.
Dia didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas telah melakukan rompak berkumpulan menggunakan sebuah alat renjatan elektrik ke atas Siti Normala Abd Lawas, 29, dengan mencuri barang berharga milik premis karaoke itu, termasuk wang tunai bernilai RM543.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di kaunter pusat karaoke Aladdin, di Jalan PJS 8/13, Dataran Mentari, di sini, pada 5.10 petang, 3 Jun tahun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim memohon hukuman berat mengambil kira faktor kekerapan kes samun melibatkan senjata selain kes itu telah melalui perbicaraan penuh.
Bagaimanapun, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah meringankan hukumannya atas alasan dia merupakan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai tiga anak.