Penjawat awam dan pesara terima insentif awal hujung bulan ini -PM

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menggunakan pendekatan “fast track” dalam meluluskan pelaksanaan skim gaji baharu penjawat awam, berbanding jangkaan akhir tahun ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

November lepas, Anwar dilaporkan berkata, skim gaji baharu itu akan diumumkan sebelum akhir tahun ini.

Bercakap pada perjumpaan dengan warga Kementerian Kewangan pagi ini, Anwar yang juga menteri kewangan berkata, kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan selesai dalam tempoh dua bulan lagi, sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.

“KSN (ketua setiausaha negara) dan KPPA (ketua pengarah perkhidmatan awam) setuju untuk percepatkan, jadi sekarang kita sudah sampai (tahap) lebih cepat dari dijangkakan keputusannya,” katanya.

“Kita tak mahu ia sengaja dilengah-lengahkan, sudahlah 12 tahun menunggu. Mula-mula ditubuhkan jawatankuasa, kemudian jawatankuasa khas, kemudian jawatankuasa Jemaah Menteri, kemudian jawatankuasa dipengerusikan perdana menteri, sampai 15 jawatankuasa baru nak putuskan.

“Sekarang tidak, kita ambil (pendekatan) ‘fast track’. PM pengerusikan dan kita muktamadkan … saya ingat paling lewat dua bulan ini, kemudian baru kita bentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan muktamad.”

FMT sebelum ini melaporkan bahawa skim gaji baharu itu hanya akan dilaksanakan pada Januari tahun depan, menurut garis masa semakan dipaparkan di laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Semakan skim saraan baharu yang bermula Julai tahun lepas itu akan dilengkapkan pada Oktober ini sebelum dibentangkan untuk kelulusan dalam Belanjawan 2025.

Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan insentif awal sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM1,000 kepada semua pesara kerajaan akan dibayar sekali gus pada 23 Feb ini.

Dalam perjumpaan itu, Anwar turut menangkis dakwaan kerajaannya hanya membela kebajikan penjawat awam sebaliknya terus menjaga semua kelompok termasuk pekebun kecil, pesawah dan peneroka.

“Semua kita ambil kira. Jadi saya minta semua warga kementerian, teruskan kerja… kalau ada berita negatif sikit-sikit itu biasa, tidak boleh satu dua kes yang negatif ini merosakkan susu satu belanga.” -FMT

Related Articles