Masalah struktur dalaman sistem penjara akan terus mengalahkan usaha deradikalisasi, pengunduran dan pemulihan, kata seorang penganalisis daripada Institut Analisis Dasar Berhubung Konflik (Ipac) menerusi satu laporan dikeluarkan semalam.
Akibatnya, tahanan yang setia kepada militan Daesh di Iraq dan Syria berupaya merekrut dan meradikalisasi banduan lain dengan sewenang-wenangnya, serta membuat serangan langsung di sebalik tabir, kata kajian oleh pusat pemikir berpusat di ibu kota ini.
Pengarah Ipac, Sidney Jones, berkata keadaan penjara yang penuh sesak dan tidak cukup kakitangan, rasuah berleluasa dan bajet tidak mencukupi menjadikannya mudah buat pelampau yang mendapat pembiayaan cukup merekrut tahanan apabila mereka ditawarkan makanan tambahan.
“Tiada program deradikalisasi akan menjadi berkesan kecuali sesetengah daripada isu terbabit ditangani,” katanya.
Ada lebih 200,000 tahanan dalam 477 kemudahan pemulihan di seluruh Indonesia, dengan kira-kira 300 atau lebih penjara dan pusat tahanan terlebih sesak.
Kemudahan paling teruk mengalami kesesakan ialah di Banjarmasin, Kalimantan Selatan, yang menampung tahanan enam kali ganda daripada kapasiti, menyebabkan warden menukar tandas kepada sel penjara.
Indonesia memiliki kira-kira 16,500 pegawai penjara, kebanyakannya tidak cukup terlatih dalam beberapa bidang penting termasuk menguruskan tahanan berisiko tinggi.
Dengan pegawai terbabit bertugas syif berbeza dalam sehari, hanya kira-kira 3,650 kakitangan bertugas pada satu-satu masa. Ia mewakili nisbah kira-kira seorang pegawai kepada 55 tahanan, menjadikannya hampir sukar memantau rapat kesemua banduan termasuk 220 pesalah pengganas.
Satu lagi faktor dalam radikalisasi tahanan adalah kehadiran pencetus ideologi dipenjara seperti Abu Bakar Bashir, pemimpin agama rangkaian pengganas Jemaah Islamiyah (JI) dan Aman Abdurrahman, dikatakan mengarahkan serangan 14 Januari lalu di ibu kota ini, mengorbankan lapan orang termasuk empat pengganas.
Kedua-dua Abu Bakar dan Aman, terkenal memiliki pengikut di dalam dan luar penjara, selain memainkan peranan aktif dalam meradikalisasi banduan. – Agensi