Peniaga mengaku tidak bersalah sediakan akaun bank pengganas

Mohd. Naazri Ishak @ Bahari, 49, didakwa menyediakan kemudahan iaitu menggunakan akaun Maybank, dengan pengetahuan bahawa kemudahan itu akan digunakan secara keseluruhannya oleh pengganas.

Bapa lima anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Bandar Tun Razak, di sini pada 8.20 pagi, 22 Mac lepas.

Dia yang berasal dari Jitra, Kedah didakwa mengikut Seksyen 130O (1)(b)(bb) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah menetapkan empat hari bermula 17 Okt ini untuk perbicaraan kes Mohd Naazri yang juga merupakan seorang bilal.

Mahkamah turut menetapkan 17 Okt untuk mendengar bantahan awal untuk menggugurkan pertuduhan yang dihadapi tertuduh melalui peguamnya, Musa Ismail.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam.

Terdahulu, Mohd. Naazri yang menjalankan perniagaan barangan elektrik memohon agar dia diberi kebenaran untuk menelefon pejabat syarikat perniagaannya seminggu sekali bagi mengetahui perkembangan pengurusan syarikat itu.

Bagaimanapun, Mohamad Shariff meminta agar tertuduh berbincang dengan peguamnya untuk menghubungi waris terdekat bagi menguruskan perniagaan itu.

Tertuduh kemudian dibawa ke penjara Sungai Buloh, Selangor. – Bernama

Related Articles