KUALA LUMPUR: Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak kandungnya minggu lalu.
Peniaga kedai makan berusia 45 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan sumbang mahram ke atas anak kandungnya berusia 16 tahun yang mana perhubungan antara mereka adalah tidak dibenarkan oleh undang-undang atau hukum agama atau adat atau kebiasaan untuk berkahwin.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam rumah di sebuah kampung di Masjid Tanah, dekat sini, kira-kira pukul 10.30 pagi dan 9.20 pagi pada 18 dan 19 Februari lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Noor Hidayu Abd Latif mencadangkan jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan tidak mampu selain menanggung dua anak yang masih bersekolah.
Katanya, mangsa tinggal berasingan di rumah neneknya di kampung sama sejak kecil.
Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, Nariman membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 selain mengenakan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi dengan apa juga cara.Kes akan disebut semula 27 Mac ini. – MalaysiaGazette