KUALA TERENGGANU: Peniaga beragama Islam dilarang menjual makanan sebelum jam 3 petang pada Ramadan dan mereka yang didapati melanggar arahan itu boleh dikenakan tindakan termasuk hukuman penjara hingga setahun.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif, berkata pengusaha dan pemilik perniagaan makanan serta minuman bukan Islam pula tertakluk kepada kelulusan lesen Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
“Pengusaha dan pemilik perniagaan makanan serta minuman yang gagal mematuhi larangan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MBKT 1991.
“Jika disabitkan kesalahan, pengusaha dan pemilik makanan boleh dikenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada media, hari ini.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, peraturan larangan berniaga sebelum jam 3 petang di bulan Ramadan itu bukannya peraturan baharu, tetapi sudah dikuatkuasakan sejak 12 Mac 2024.
“Pegawai dan anggota penguat kuasa MBKT akan membuat rondaan untuk memastikan ketetapan itu dipatuhi,” katanya. –Berita Harian Online