Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha, berkata ia merujuk pada ruangan Bayan Linnas Siri 59 dalam laman sesawang itu yang menyentuh mengenai penggunaan vaksin.
Katanya, keperluan menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta adalah perkara asas dalam maqasid syariah yang perlu diberi keutamaan.
“Oleh itu, suntikan vaksin yang menjadi sejenis agen bertindak untuk merangsang sistem pertahanan badan, adalah satu daripada cabang memelihara nyawa dengan menjaga kesihatan.
“Kegagalan mengambil suntikan vaksin bakal mengundang kemudaratan lebih besar pada masa akan datang kerana bukan sahaja individu tidak mengambil vaksin terdedah kepada pelbagai penyakit berjangkit berbahaya, malah berpotensi membahayakan orang lain.
“Akhirnya, mereka akan mengancam imuniti sekelompok.
“Islam mementingkan umatnya berwaspada dengan bahaya dan menyarankan kita mengambil langkah pencegahan ‘al-wiqayah’ dalam mendepani isu seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Othman berkata, tindakan mengambil vaksin adalah satu kemestian untuk membendung penyakit berbahaya pada peringkat awal.
Katanya, walaupun ada sesetengah dakwaan mengatakan vaksin mengandungi bahan terlarang seperti najis, ia tetap diharuskan kerana darurat jika tiada pilihan lain.
Katanya, JAKIM berpendapat suntikan vaksin itu bukan sahaja bertepatan dengan nas syarak, bahkan selari dengan prinsip maqasid syariah dalam menjaga nyawa manusia.