Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan lelaki berusia 65 tahun dan bergelar Tan Sri itu dibebaskan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengemukakan permohonan melanjutkan reman.
Menurut jurucakap SPRM, pengerusi bank berkenaan dibebaskan dengan jaminan tanpa deposit dengan seorang penjamin.
Mahkamah sebelum ini mengeluarkan perintah reman ke atas Tan Sri itu bagi tempoh tujuh hari bermula 30 Ogos lalu. Lelaki itu ditahan di ibu pejabat SPRM ketika tampil memberi keterangan, pada 1.15 tengah hari 29 Ogos lalu.
Pada 25 Ogos lepas, SPRM menahan lapan orang termasuk tiga wanita bagi membantu siasatan kes itu.
Mereka terdiri daripada seorang pengarah urusan, seorang pengurusan perolehan bank, dua peguam, tiga pemilik syarikat penerbitan dan seorang penulis buku yang juga mengurus syarikat.
Setakat ini, tujuh individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes telah dibebaskan manakala reman seorang daripada pemilik syarikat penerbitan dilanjutkan selama tujuh hari sehingga Khamis ini (8 September). – Bernama