Majistret Analia Kamaruddin menjatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara 12 bulan atas pertuduhan menyebabkan kecederaan; dan RM2,000 atau penjara tiga bulan kerana tidak mendaftarkan pusat jagaan, ke atas M. Sehgar setelah tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Sehgar, 56, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Wong Yoke Chan, 75, dengan menggunakan tangan di Pusat Jagaan All Mighty Old Folks Home, di Jalan Klebang Besar di sini pada pukul 3 petang, 18 Ogos lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh di tempat yang sama pada tahun 2013 didakwa tidak mendaftarkan pusat jagaan dengan cara sah dan didakwa mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pusat Jagaan 1993 memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – Bernama