Pengarah KIST minta polis segera siasat Bahri

Pengarah Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), Noraihan Che Ali mendakwa, sehingga kini, masih tiada sebarang tindakan diambil oleh PDRM dan SPRM berhubung dua laporan polis yang dibuatnya terhadap Bahri pada tahun lalu.

Menurutnya, beliau me­nge­syaki Bahri telah menyalahgunakan kuasa untuk menggeledah rumah serta menyita dokumen milik suaminya, Allahyarham Muhammad Zamly Abdullah yang me­rupakan abang ipar kepada Bahri berikutan keengganannya menandatangani surat penolakan harta pusaka.

“Berikutan penolakan untuk menandatangani surat itu, sepasukan anggota SPRM dari Putrajaya datang menggeledah rumah saya di Kota Bharu dan menyita dokumen suami saya terutama dokumen berkaitan kolej.

“Saya berasa cu­riga, mengapa urusan SPRM perlu di­salahgunakan dalam sebarang urusan keluarga ter­utama selepas saya menolak untuk menandatangani surat harta pusaka itu,” katanya dalam sidang akhbar di ibu negara pada Jumaat.

Noraihan memberitahu, artikel mengenai kedua-dua laporan polis yang dibuatnya telah disiarkan dalam portal Malaysia Today pada 4 Januari lalu.

Malah beliau berkata, tindakan yang dilakukan Bahri ketika memegang jawatan dalam SPRM telah menimbulkan tekanan serta kebimbangan kepada keluarganya.

“Saya hanya mahukan keadilan bagi diri dan anak saya yang ber­usia sembilan tahun yang telah dinafikan hak terhadap harta pusaka peninggalan ayahnya serta mahu pihak berkuasa meneliti perkara ini,” jelasnya, memetik Utusan Online.

Related Articles