Pengarah J-KOM: Tunggu Pengumuman Menteri

by Anis

KUALA LUMPUR: Bekas exco Selangor Mohd Khairuddin Othman meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil susulan spekulasi pelantikannya sebagai ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

Kerusi itu kosong sejak November tahun lalu apabila Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff meletak jawatan dengan memberi alasan menerima tawaran kerja baharu dan bukannya disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak.

Bercakap kepada FMT, Khairuddin yang juga bekas Adun Paya Jaras berkata beliau tidak mahu mendahului mana-mana pihak, mengulas laporan media bahawa beliau antara nama-nama disebut-sebut bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Agus itu.

“Saya dapat makluman ada beberapa nama yang dipertimbangkan.

“Saya rasa elok tunggu pengumuman YB menteri (Fahmi),” kata setiausaha PKR Selangor itu yang baharu sahaja menamatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengajian perang saraf media dan informasi.

Minggu lalu, Fahmi berkata calon ketua pengarah J-Kom telah dimuktamadkan dan akan diumumkan setelah selesai beberapa proses dokumentasi.

Menurutnya, nama calon tersebut telah diluluskan dalam mesyuarat Kabinet dan pada masa yang sama kementerian itu dalam proses merombak struktur J-Kom.

Agus dilantik ketua pengarah J-Kom pada Februari 2023 dan meletak jawatan pada 16 Nov. – FMT

Related Articles