Penganggur bunuh kanak-kanak sembunyi dalam tong ikan didakwa

Tertuduh, Mohd Affendi Fauzi Ramlee, 34, bagaimanapun hanya mendiamkan diri apabila kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Adiba Husna Zainal Abidin.

Mohd Affendi Fauzi didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Mohd Qhairullah Abdul Hadi, di sebuah rumah bernombor A14-L3-14, Flat Paya Nahu, di Sungai Petani Kedah, antara 27 Oktober 2016 jam 8 pagi hingga 24 November 2016 pada jam 2 pagi.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Izza Munirah Osman, manakala tertuduh yang hadir berbaju kemeja kelabu tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 22 Januari 2017 untuk sebutan semula bagi laporan forensik dan kimia.

Dua minggu lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, ditemui mati, manakala kakaknya berusia empat tahun parah dipercayai didera teman lelaki ibu mereka bersama wanita itu di Flet Paya Nahu, di Sungai Petani.

Kanak-kanak lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia sejak 9 November lalu, dengan mayatnya yang sudah reput disembunyikan suspek dalam tong ikan di bilik rumah berkenaan.

Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun itu pula parah dipercayai didera hingga mengalami kecederaan di muka dan patah tulang selangka bahu kanan dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Susulan penemuan itu, seorang lelaki berusia 34 tahun dan ibu mangsa, 24, ditahan bagi membantu siasatan.

Kejadian itu terbongkar selepas polis menerima panggilan daripada orang awam jam 2 pagi, memaklumkan kes penderaan terhadap seorang budak perempuan berusia 4 tahun yang cedera parah akibat dipukul teman lelaki ibunya. –BH Online

Related Articles