Pendirian saya konsisten, kata Ku Li

by SM Amin

Beliau yang lebih di kenali sebagai Ku Li berkata negara sedang mengalami krisis genting mengenai pemerintahan dan kepimpinan sehingga menyebabkan masalah ekonomi yang dahsyat terutamanya berkaitan dengan isu hutang negara.

“Selama ini saya sering berpendapat dan mengingatkan sekiranya kita tidak tukar cara berpolitik dan perisian dasar ekonomi, kita akan menghadapi krisis seperti yang berlaku sekarang ini.

“Saya mengingatkan perkara ini di Parlimen dan juga dalam beberapa ucapan saya. Saya konsisten dan berkali-kali menyatakan bahawa kita pasti tidak dapat mengelak perubahan.

“Tanpa perubahan dalam tatacara pemerintahan negara dan cara kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab awam, tidak mungkin kita dapat selesaikan masalah yang dihadapi itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada tindakan beliau yang menandatangani Deklarasi Kelantan yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa Ku Li merupakan dalang sebenar dalam usaha untuk menjatuhkan Najib sebelum ini.

Jelas Ku Li, sebagai pengamal politik, beliau perlu bertindak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan kehendak parti serta tidak timbul isu menyokong kerajaan yang memerintah dan sekaligus memberi sokongan kepada ketua kerajaan.

“Inilah intipati perjuangan saya di peringkat kebangsaan serta dalam UMNO sejak tahun 1987. Saya konsisten dalam perkara ini selama ini dan saya akan terus konsisten di hari muka.

“Kebelakangan ini, desakan untuk perubahan semakin lantang. Seperti juga orang lain yang inginkan perubahan, saya juga sentiasa mencari jalan munasabah dan sah dari segi undang-undang untuk maksud ini, termasuklah meneliti peranan yang boleh dimainkan oleh Dewan Rakyat.

“Maka itu setiap pengamal politik dan Ahli Parlimen berkewajipan untuk tidak mendewa-dewakan orang perseorangan dan bermain politik dalam usaha dalam menangani perubahan yang diperlukan itu,” ujarnya.

Related Articles