Pendidikan di Malaysia hampir percuma – Idris Jusoh

by SM Amin

Malah kata Idris, kerajaan juga mewartakan pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap perkhidmatan pendidikan di Universiti Awam seluruh negara.

“Kerajaan Malaysia tidak mengenakan yuran yang tinggi kepada para pelajar dan menjadikannya antara yuran terendah di Asia.

“Sebagai contoh, yuran program pengajian perubatan sebelum subsidi adalah sebanyak RM289,885 tetapi pelajar hanya perlu membayar yuransebanyak RM9,000 sahaja sepanjang tempoh pengajian.

“Secara purata, kerajaan menanggung sebanyak 91.41 peratus subsidi bagi program perubatan di Malaysia,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PKR- Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sama ada kerajaan bercadang untuk menyemak semula yuran akademik di IPTA.

Menurut Idris, komitmen kerajaan terhadap pendidikan tinggi dari segi sudut peruntukkan yang diberikan merupakan antara yang tertinggi di dunia.

“Menurut UNESCO, Malaysia berada di tempat ke-7 dunia dalam menyediakan peruntukkan kepada pendidikan tinggi dan ke-12 bagi perbelanjaan setiap seseorang pelajar.

“Kerajaan juga membantu pelajar dengan pelbagai kemudahan pinjaman seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta pembiayaan biasiswa seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Yayasan-yayasan Kerajaan Negeri, Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong dan banyak lagi,” katanya.

Beliau turut membidas tindakan pembangkang yang sering membandingkan yuran pendidikan tinggi negara dengan beberapa negara lain seperti Finland, Denmark dan Norway yang memberikan pendidikan percuma kepada pelajar mereka.

“Perlu difahami bahawa negara-negara tersebut mempunyai jumlah pendapatan perkapita tahunan yang jauh lebih tinggi berbanding Malaysia, termasuk dengan mengenakan antara cukai pendapatan yang paling tinggi di dunia iaitu sekitar 39 hingga 56.9 peratus.

“Mereka juga mengenakan GST dan satu cukai lagi yang tidak dilaksanakan di Malaysia iaitu Value-added Tax (VAT), di mana jumlah kedua-dua cukai ini adalah antara 23 hingga 25 peratus,” ujarnya.

Related Articles