KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan kesal dengan tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu ke Bangkok untuk menghadiri majlis perasmian Phrigkiao, restoran dikendalikan seorang rakyat Malaysia di sana.
Muhyiddin memfailkan permohonan untuk mengembalikan pasportnya buat sementara bagi tujuan ke Bangkok pada 15 Februari sehingga 21 Februari.
Permohonan itu difailkan Tetuan Chetan Jethwani & Company pada 31 Jan lalu.Sedangkan bekas Perdana Menteri itu mempunyai prosiding mahkamah pada 15 Februari ini.
“Individu ini rapat dengan saya dan membuka sebuah premis makanan halal di sana. Dia mahu saya hadiri majlis itu,” kata Muhyiddin.Muhyiddin juga berkata beliau akan memulangkan pasportnya kepada mahkamah pada 23 Feb nanti.
Selain ke restoran itu, Muhyiddin berkata lawatannya juga termasuk menemui rakan di Bangkok dan kawasan lain di Thailand.“Sejak didakwa, saya tidak dapat jumpa mereka.
”Pihak pendakwaan bagaimanapun membantah permohonan itu.Dalam afidavit membantah permohonan itu, Timbalan Pendakwa Raya Xander Lim berkata alasan diberikan Muhyiddin tidak boleh disokong.
“Beliau tiada hak atau keistimewaan mendapatkan pasport itu, yang ditahan mahkamah kerana masih berdepan pertuduhan pengubahan wang.“Beliau tahu perkara ini, tetapi masih menempah tiket penerbangan ke Bangkok,”ujarnya.
Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi dijadualkan mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk menangguh semua prosiding berhubung pertuduhan pengubahan wang sementara menunggu rayuan berkaitan pada tarikh itu.
Hakim kini menetapkan permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasportnya bagi pendengaran pada hari sama.
Pada 29 Nov lalu, Azura membenarkan Muhyiddin mendapatkan pasportnya buat sementara bagi membolehkannya bercuti bersama keluarga di London dan menjalani pemeriksaan kesihatan di Singapura.
Pasport Muhyiddin diserahkan kepada mahkamah selepas beliau didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang tahun lalu.
Beliau membayar jaminan RM2 juta.Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya atas alasan ia kabur, cacat dan tidak berasas kerana tidak menyatakan butiran kesalahan dilakukan.
Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan yang akan mendengarnya pada 28 dan 29 Feb ini. – FMT