Katanya, penasihat undang-undang kementerian akan mengemukakan kertas siasatan tersebut kepada jabatan itu untuk tindakan seterusnya.
Sebelum ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melengkapkan kertas siasatan tersebut bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap kilang yang mencemarkan Sungai Semenyih.
Pencemaran Sungai Semenyih menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih sehingga menjejaskan bekalan air kepada lebih sejuta penduduk di daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Petaling dan Sepang.
Mengenai dakwaan pencemaran Sungai Buah di Nilai, Negeri Sembilan, sehingga menyebabkan operasi LRA Semenyih tergendala, Wan Junaidi berkata siasatan bersepadu sedang dijalankan.
Beliau berkata kerja-kerja pembaikan benteng yang telah pecah sedang dilakukan bagi menghalang aliran Sungai Buah yang disyaki tercemar ke Sungai Semenyih.
“Sebanyak tiga lagi benteng akan dibina dan air akan dilepaskan melalui bukaan kecil di benteng pertama dan akan mengalir secara limpahan melalui benteng seterusnya,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Beliau juga berkata pemantauan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca pencemaran bau air mentah dari Sungai Sematan di Bentong, Pahang.
Katanya siasatan juga dijalankan terhadap premis-premis berdekatan sungai tersebut yang disyaki melakukan pelepasan kilang ke sungai itu sehingga menyebabkan penutupan LRA Langat dan Cheras.
“Bagi jangka masa panjang pula, pihak pengusaha loji perlu menyediakan alternatif sumber air mentah seperti menyediakan kawasan penyimpanan secukupnya yang boleh digunakan apabila berlaku kecemasan selaras dengan Dasar Sumber Air Negara,” katanya. – Bernama