Menurut Tiong Lai, usaha pencarian ke atas pesawat berkenaan akan dihentikan selepas pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi ditamatkan.
Selain itu, Tiong Lai memaklumkan bahawa pencarian MH370 juga akan ditangguhkan sehingga sebarang maklumat terbaharu muncul bagi mengesan lokasi sebenar pesawat malang terbabit.
“Australia, China dan Malaysia akan tamatkan pencarian selepas menamatkan pencarian di kawasan seluas 120,000 km persegi,” katanya seperti dipetik oleh laman Twitter Berita Harian pada Jumaat.
Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan China, Yang Chuantang memaklumkan bahawa China, Australia dan Malaysia tidak akan berputus-asa untuk mencari pesawat yang hilang sejak 2014 lalu.
Sebelum ini, beberapa serpihan yang dikaitkan dengan pesawat MH370 ditemukan sejak tahun lepas, namun hanya bahagian flaperon yang ditemukan di Pulau Reunion di Lautan Hindi disahkan sebagai 100 peratus milik pesawat malang itu.
Pesawat Boeing 777 Penerbangan MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang pada awal pagi 8 Mac 2014, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).