Penasihat menteri Australia letak jawatan

ABC News melaporkan, tindakan Walker itu dipercayai susulan dia ditahan bersama lapan warganegara Australia yang lain ekoran tindakan mereka memakai seluar dalam bercorak Jalur Gemilang ketika menyaksikan perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia di litar Sepang, Ahad lepas.

“Walker telah memberi notis meletak jawatan kepada Menteri Industri Pertahanan, Christopher Pyne, semalam selepas dia kembali ke Australia,” kata Pyne dalam kenyataannya.

Dalam kenyataan itu, beliau turut menyatakan Walker merasa kesal di atas tindakannya itu dan menganggap ia memalukan kerajaan negara itu.

“Jack meluahkan rasa kesal kerana memalukan kerajaan dan membuat permohonan maaf.

“Penghakiman ke atas Jack tidak menjejaskan, dia adalah kakitangan yang cemerlang, penyumbang utama kepada pejabat saya sejak akhir 2013 dan saya percaya dia mempunyai masa depan yang cerah,” kata kenyataan itu lagi.

Mahkamah Sesyen Sepang sebelum ini telah membebaskan tanpa sabitan sembilan warga Australia berkenaan, dengan Hakim Harith Sham Mohamed Yasin, memberi amaran terhadap kesemua tertuduh supaya tidak mengulangi perkara tersebut.

Kesemua mereka sebelum itu didakwa mengikut seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan dan seksyen 14 kanun sama iaitu berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Kesemua mereka mengaku bersalah di atas pertuduhan tersebut.

Mereka juga memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas tindakan memakai seluar renang corak bendera Malaysia ketika menyaksikan perlumbaan Formula Satu (F1) di Sepang itu.

Related Articles