Pemuda PAS tolak projek perindah Tugu Negara

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata bajet sebanyak RM650 juta perlu diagihkan kepada projek-projek kepentingan rakyat yang lebih memerlukan terlebih dahulu.

“DPPWP secara tegas meminta pihak kerajaan menangguhkan projek untuk memperindahkan kawasan sekitar Tugu Negara yang dianggarkan akan menelan kos sebanyak RM 650 juta.

“DPPWP tidak menolak idea untuk menghijaukan Kuala Lumpur, tetapi keperluan bagi projek tersebut sangat tidak perlu buat masa ini. Kerajaan harus memanfaatkan lokasi bajet tersebut untuk keperluan rakyat yang lebih utama.

“DPPWP mahu supaya peruntukan tersebut diagihkan kepada sektor rangsangan ekonomi yang lebih besar termasuk perbelanjaan kepada golongan miskin dan mudah terjejas. Kami tidak mahu projek tersebut diteruskan buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu kata Khairil, pihaknya turut khuatir projek tersebut akan mengulangi kegagalan projek dusun bandar sebelum ini yang menghadapi masalah dan keraguan kewangan seperti yang mana dilapor dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

“Idea ikonik hutan tropika mini dalam bandar raya tersebut juga dibimbangi akan mengulangi kegagalan projek dusun bandar yang terletak di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur.

“Negara dan rakyat sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi. Kitaran krisis ekonomi juga dijangka bakal berlaku pada tahun 2017/2018.

“Maka, apa perlunya kerajaan dan agensinya membelanjakan peruntukan yang besar untuk projek yang tidak berimpak tinggi tersebut?,” soalnya.

Related Articles