Pemohon Boleh Mohon Biasiswa Yang di-Pertuan Agong Sehingga 29 Mac

KUALA LUMPUR: Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2024 telah dibuka untuk permohonan semalam sehingga 29 Mac ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan berkata, biasiswa berprestij tinggi itu bagi mengikuti pengajian di peringkat sarjana (penyelidikan) atau doktor falsafah (PhD) dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), ekonomi, undang-undang, kewangan Islam dan kecerdasan buatan (AI) di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia.

Menurut kenyataan itu, pemohon boleh memohon secara dalam talian melalui portal https://bmipenajaan.jpa.gov.my.

Borang permohonan yang lengkap beserta dokumen sokongan hendaklah dihantar dan diterima oleh pihak JPA sebelum atau pada 5 April 2024 sama ada melalui serahan tangan atau pos.

Syarat permohonan BYDPA, antaranya warga Malaysia yang berumur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2024.

Syarat lain termasuk mempunyai keputusan akademik yang cemerlang iaitu mendapat nilai gred kumulatif (CGPA) minimum 3.75 atau kelas pertama bagi ijazah sarjana muda bagi calon sarjana.

Manakala untuk calon PhD pula, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana mereka perlu diiktiraf oleh kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya

.Selain itu, pemohon yang telah mendapat tawaran tanpa syarat atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun 2024 di institusi pengajian tinggi mengikut bidang pengajian masing-masing.

Pengajian bagi peringkat sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja dan pemohon perlulah bergiat aktif dalam kokurikulum dan terlibat dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan, reka cipta seni atau teknologi.

“Permohonan yang memenuhi syarat serta melepasi saringan lanjut pihak JPA sahaja akan disenarai pendek untuk menghadiri temu duga,” tambahnya.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai penawaran ini, boleh diajukan di portal https://bmipenajaan.jpa.gov.my atau hubungi talian 03 – 8885 3053/3879 pada setiap hari bekerja (9 pagi hingga 5 petang) atau emel kepada penawaranldp@jpa.gov.my. – MalaysiaGazette

Related Articles