Pemimpin Politik Diingat Berhenti Tunggang Agama, Kata Zahid

PUTRAJAYA: Zahid Hamidi mengingatkan semua pemimpin politik tidak menunggang agama bagi mencapai cita-cita politik, susulan amaran Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada Presiden PAS Hadi Awang, semalam.

Timbalan perdana menteri itu berkata soal agama, hukum dan fatwa harus dijadikan sempadan dalam memberikan pendapat.

“Saya tidak perlu nasihatkan mana-mana pemimpin parti ada latar belakang agama untuk mengikut landasan atau alasan itu tetapi jangan gunakan agama sebagai tunggangan mencapai hasrat politik,” katanya selepas merasmikan surau bergerak bas dua tingkat di Masjid Putra.

“Saya menghargai titah tuanku ini sebagai amaran bukan untuk seseorang individu itu sahaja tetapi pemimpin parti termasuk UMNO supaya tidak melakukan perkara dan kesalahan sama.”

Beliau mengulas titah Sultan Sharafuddin yang dukacita dengan kenyataan Hadi dalam artikel bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ sambil menyifatkan Ahli Parlimen Marang itu sebagai tidak beradab.

Baginda menegur kenyataan sinis itu yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap Raja-Raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat.

Tegas baginda, kenyataan Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan umat Islam khususnya di kalangan orang Melayu. –Free Malaysia Today

Related Articles