Pemimpin Bersih diugut bunuh

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan hari ini berkata, ancaman bunuh itu diterima Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah dan keluarganya, Pengurus Bersih Mandeep Singh, dan mantan Pengerusi Bersama Bersih, S. Ambiga melalui khidmat pesanan WhatsApp.

“Semalam, Maria telah menerima ugutan bunuh melalui whatsapp. Ugutan itu berbaur perkauman dan agama. Penghantar mesej mengugut untuk ‘sembelih’, ‘potong kepala’ dan ‘sebar dalam YouTube’.

“Ugutan itu juga ditujukan kepada keluarga Maria, Mandeep Singh dan Ambiga Sreenevasan,” kata Fahmi.

Mesej yang diterima itu turut menyertakan gambar-gambar mereka seperti kes tahanan dibunuh militan ISIS.

Sehubungan itu, ketiga-tiga pemimpin Bersih akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.

“Suatu laporan polis akan dibuat petang ini oleh Maria, Mandeep, dan Ambiga pada 5.30 petang di IPD Petaling Jaya.

“Ugutan ini sebenarnya bukan sahaja ditujukan kepada Maria. Ia bertujuan memainkan sentimen perkauman dan agama. Mereka hendak cuba melemahkan dan menakut-nakutkan pergerakan rakyat Bersih,” kata Fahmi, dalam kenyataannya.

“Mohon rakan-rakan tidak patah semangat, terus satukan tenaga, dan meneruskan perjuangan kami untuk reformasi institusi dan sistem politik Malaysia!”

Related Articles