Dalam kenyataan hari ini, bank pusat berkata pinjaman perumahan terus berkembang pada paras dua angka, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10.6 peratus pada akhir Mei 2016.
“Kira-kira 75 peratus daripada peminjam (kira-kira 1.5 juta) dengan pinjaman perumahan adalah pembeli rumah kali pertama,” katanya.
BNM mengulas artikel media yang meminta bank pusat mengkaji semula garis panduan pinjaman.
Bank pusat itu berkata akses kepada kredit bukan masalah yang dihadapi bakal pembeli untuk memiliki rumah mampu milik.
“Terdapat isu-isu yang lebih asas yang memerlukan resolusi seperti dari segi kemampuan dan kekurangan penawaran rumah yang berharga berpatutan.
“Garis panduan pembiayaan oleh BNM akan memastikan individu meminjam mengikut kemampuan mereka untuk membayar balik pinjaman tersebut,” katanya.
BNM berkata ia meletakkan tanggungjawab ke atas bank untuk mewujudkan pendapatan peminjam yang akan disediakan untuk memenuhi pembayaran balik hutang, selepas mengambil kira perbelanjaan dan tanggungan luar jangka.
“Ini untuk melindungi dan mengelak individu daripada menghadapi kesukaran dari segi kewangan kerana meminjam berlebihan, yang akhirnya menjejaskan pemilikan rumah disebabkan perampasan harta,” katanya.
Bank pusat itu berkata ia tidak menetapkan sebarang had pinjaman, berikutan keputusan pinjaman ditentukan oleh keputusan perniagaan bank, mencerminkan kesanggupannya untuk mengambil risiko dan strategi.
“Sebagai peraturan am, semua pemohon yang memenuhi kriteria kredit dan mampu untuk membayar balik hutang akan mempunyai akses kepada kredit,” katanya.
BNM berkata pihaknya, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit serta Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia terus bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri untuk menambah baik proses meluluskan permohonan pemohon bagi rumah mampu milik untuk memastikan mereka juga layak untuk pembiayaan bank.
“Ini termasuk membantu individu mengenal pasti langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan kelayakan mereka untuk pembiayaan,” katanya. – Bernama