Pemilik kenderaan tentera yang telah dilupus ditahan

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah menemui sebuah kenderaan berwarna hitam dan berceloreng di kawasan letak kenderaan kuarters berkenaan kira-kira 2.15 petang kelmarin.

Beliau berkata pihak polis turut mengesan seorang lelaki berumur 32 tahun yang mengaku sebagai pemilik kenderaan pacuan empat roda Pinzgauer itu.

Rosly berkata lelaki berkenaan mendakwa kenderaan itu merupakan kenderaan tender daripada Kementerian Pertahanan dan dia membelinya daripada syarikat pelupusan besi buruk di Pulau Pinang akhir tahun lalu.

“Lelaki itu kemudian melakukan kerja-kerja pembaikan ke atas kenderaan itu selama tiga bulan sebelum dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Batu Caves, Selangor untuk pemeriksaan,” katanya.

Rosly berkata selepas lulus ujian Puspakom, lelaki tersebut telah mendaftarkan kenderaan berkenaan ke Jabatan Pengangkutan Jalan sebagai pemiliknya.

Katanya lelaki berkenaan memberitahu kenderaan itu kemudian dihantar ke Klang, Selangor bagi penukaran warna supaya tidak terlalu mirip seperti kenderaan tentera.

Kenderaan itu dibawa balik ke Putrajaya pada Ahad lepas.

Beliau berkata siasatan terhadap lelaki berkenaan turut membawa pasukan polis ke sebuah rumah di Presint 18 kelmarin.

Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui beberapa kelengkapan ketenteraan seperti baju celoreng, baju hujan celoreng, katil lipat warna hijau dan beg tidur celoreng, katanya.

Rosly berkata lelaki berkenaan yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi dipercayai membeli kenderaan berkenaan kerana berminat kepada aktiviti hutan dan lasak.

Lelaki tersebut akan direman sehingga hari ini untuk disiasat di bawah Seksyen 171 Kanun Keseksaan berkaitan penggunaan peralatan mirip pihak berkuasa. – Bernama

Related Articles