Pemilihan ke SBP bukan sahaja akademik

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, keputusan penilaian turut melibatkan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Psikometrik (Ppsi).

“Justeru jumlah bilangan A yang dicapai oleh pelajar belum tentu menjamin tempat di SBP,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen UMNO Kedah 2016 di Sungai Petani pada Sabtu.

Terdahulu, UPSR 2016 yang menggunakan format baharu menyaksikan seramai 4,896 calon memperoleh keputusan cemerlang semua Gred A.

Jumlah pencapaian cemerlang itu adalah 1.11 peratus daripada 452,751 calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu September lalu.

Selain itu seramai 8,345 calon atau 1.89 peratus memperoleh keputusan maksimum 1B; 35,752 calon atau 8.11 peratus memperoleh minimum 2B; 91,366 calon atau 20.73 peratus (minimum 1C).

Seramai 152,825 calon atau 34.67 peratus (minimum 1D), 137,262 calon atau 31.14 peratus (minimum 1E) manakala 9,519 calon atau 2.16 peratus mendapat semua E. Gred Purata Nasional ialah 2.96.

Related Articles