Jabatan berkenaan sebaliknya menegaskan pembaharuan cukai jalan bagi Lesen Kenderaan Motor kekal seperti sedia ada.
“Diharap orang ramai dapat mengesahkan sebarang mesej seumpamanya dengan JPJ terlebih dahulu. Jangan percaya kepada apa-apa mesej berantai yang diterima melalui media sosial atau aplikasi WhatsApp.
“Proses memperbaharui cukai jalan kekal seperti sedia ada di mana pemilik kenderaan atau wakil boleh hadir ke JPJ dan tiada pengesahan biometrik diperlukan bagi urusan berkenaan,” kata kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Sehubungan itu, JPJ meminta orang ramai agar tidak terpedaya dengan khabar angin berkenaan, yang sejak kebelakangan ini tersebar luas dalam media sosial.
JPJ turut memaklumkan mulai 1 September ini, mana-mana kenderaan yang memperbaharui Lesen Kenderaan Motor akan dikeluarkan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) baharu bagi menggantikan Perakuan Pendaftaran Kenderaan (Geran).
“Penggantian Geran kepada VOC akan dibuat dalam urusan pindaan atau pembetulan rekod kenderaan yang belum pernah mendapat VOC. Pengeluaran VOC pada kali pertama adalah percuma.
“Bagi kenderaan yang sudah mendapat VOC pula, JPJ boleh mengeluarkan salinan VOC baharu atas permintaan pemilik sekiranya berlaku sebarang pindaan atau pembetulan rekod kenderaan,” katanya.