Malah dalam masa yang sama, beliau juga berkata kepada pemandu-pemandu teksi untuk berhenti mengugut kerajaan dengan mengatakan akan menyokong pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.
“Saya fikir ugutan ini tak patut timbul kerana kalau kita tengok di segi manfaat dan perkara-perkara yang telah lakukan untuk golongan ini amat banyak sekali.
“Kerajaan buka peluang supaya industri ini maju, pengguna dan pengusaha pun untung. Saya harap mereka dapat melihat secara positif. Tak payahlah ugut kita dan kerajaan. Tengok apa kesan pelaksanaannya.
“Keputusan kerajaan mutamad. Sama ada dia cakap akan masuk parti pembangkang atau tidak, itu tidak menjadi isu. Yang paling penting kita nak transformasi industri teksi dapat dilakukan,” katanya memetik laporan Agendadaily.
“Hentikanlah ugutan-ugutan ini. Saya harap mereka dapat terus menyokong kerajaan lagipun ini akan membawa banyak kebaikan untuk mereka,” tambahnya.
Semalam, SPAD menyarakan semua perkhidmatan teksi di negara ini untuk menggunakan teknologi perkhidmatan e-hailing (e-panggilan) seperti yang diaplikasikan oleh Uber dan juga Grab Car.
Ketetapan itu adalah antara inisiatif baharu menerusi Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang diumumkan oleh Syed Hamid sendiri di dalam sidang media mengumumkan keputusan kabinet semalam.
TITP berasaskan empat prinsip utama, iatu memanfaatkan penggunaan teknologi (termasuk mengawalselia aplikasi e-hailing seperti diguna UBER/Grabcar), meningkatkan pendapatan dan kebajikan pemandu teksi, meningkatkan mutu perkhidmatan pemandu dan menyemak semula kadar tambang teksi.
Diminta mengulas tohmahan “SPAD bodoh, malas dan tak ada otak” dari seorang pemimpin persatuan teksi, Syed Hamid berkata: “Dia kata kita bodoh, jadi kalau kita jawab kita akan jadi bodoh. Jadi lebih baik tak usah jawab. Kita mohon pada Allah supaya memberikannya taufik dan hidayah,” katanya dalam nada berseloroh.
“Setahu saya rekod kita tidak menunjukkan dia pemandu teksi atau memiliki teksi,” tambahnya.
Syed Hamid berkata, dalam sesi taklimat dan dialog antara SPAD bersama pengusaha dan pemandu teksi pagi Selasa, isu mengenai UBER dan Grabcar turut dibangkitkan.
Katanya pemandu teksi seharusnya mengambil kesempatan untuk bersaing menggunakan aplikasi menempah perkhidmatan sewaan atas talian (e-hailing) seperti yang dibuat oleh GrabCar dan UBER.