Pemandu Menteri Ekor Rapat Ambulans Dikenakan Kompaun

IPOH: Kes kenderaan rasmi menteri yang mengekori rapat sebuah ambulans di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) antara Simpang Pulai menghala ke Tapah, awal bulan lepas telah selesai, kata Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Mohd Yusri berkata tindakan mahkamah telah diambil dan pihak berkaitan juga telah dikenakan kompaun.

“Mahkamah telah mengambil tindakan kepada kes tersebut…dah selesai. Mereka telah beri kerjasama yang baik kepada semua,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak, di sini hari ini

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan kes berkenaan.

Pada 3 Feb lepas, tular di media sosial tindakan sebuah kenderaan rasmi menteri mengekori rapat sebuah ambulans yang ketika itu dalam perjalanan menuju ke lokasi kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan antara Simpang Pulai menghala ke Tapah, Perak.

Kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan 9 (2) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang menetapkan bahawa pemandu harus memberi laluan kepada kenderaan kecemasan dengan lampu siren menyala. -Bernama

Related Articles