Pemandu jentera berat maut tertimbus tanah

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Mohamad Yusof Zainol, 48, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dan kepala.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, kejadian itu disedari anak lelakinya selepas gagal menghubungi mangsa pada kira-kira pukul 11 pagi.

“Selepas gagal menghubungi bapanya, anak mangsa telah pergi ke tempat kejadian dan mendapati ayahnya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk jentera berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa bekerja sendirian di Bukit Manggak dan dipercayai kemalangan itu berlaku antara pukul 9 hingga 11 pagi iaitu sebelum anak mangsa menghubunginya.

“Dipercayai seketul tanah besar telah runtuh sebelum menghempap mangsa. Ketika dibawa keluar daripada jentera tersebut, mangsa didapati sudah tidak bernyawa” katanya, memetik laporan Utusan Online.

Tambahnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Nerang, Padang Terap untuk dibedah siasat.

Related Articles