Di Bintulu hari ini, bandar tersebut dipenuhi dengan pelekat ‘tolak orang luar’ merujuk kepada parti DAP, PKR, PAS dan Amanah yang merupakan parti-parti dari Semenanjung yang bertanding dalam PRN Sarawak kali ini.
Berkemungkinan pelekat-pelekat ini dibuat untuk menunjukkan penolakan masyarakat setempat terhadap parti-parti dari luar Semenanjung yang bertanding dalam PRN Sarawak.
Sebelum ini, veteran DAP, Lim Khim Boon, 66, mencabar pemimpin-pemimpin pembangkang DAP dan PKR Sarawak meninggalkan kedua-dua parti itu jika benar mereka ‘anak-anak Sarawak’ seperti yang mereka dakwa.
Khim Boon yang merupakan bapa kepada Pengerusi DAP Senadin, Lim Su Kien berkata tiada apa yang dapat diperjuangkan oleh kedua-dua parti dari Semenanjung itu kerana kuasa yang terhad terutamanya dalam membuat keputusan.
“Jika mereka mahu berjuang untuk Sarawak, mereka perlu meninggalkan DAP dan PKR dan menyertai parti pembangkang tempatan yang mengetahui apa yang terbaik untuk rakyat di negeri ini,” katanya seperti dilapor The Borneo Post.
Bekas pegawai khas kepada penyandang ADUN DAP Tanjung Batu, Chiew Chiu Sing menegaskan beliau akan memberikan sokongan penuh kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem untuk mendapatkan lebih autonomi bagi Sarawak.