Pelancong maut dilanggar bas

Pelancong wanita warga Poland maut selepas dilanggar bas di Jalan Tan Cheng Lock berhampiran Wisma Megah, dekat Kuala Lumpur kira-kira 1 tengah hari Rabu.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafie Daud berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu bas berusia 54 tahun itu dipercayai cuba membelok ke kanan dari Jalan Tun HS Lee menghala ke Jalan Tan Cheng Lock.

Bagaimanapun katanya, dalam masa yang sama, mangsa Daiana Helena Paczkowska, 23, dipercayai cuba melintasi jalan terbabit sebelum dilanggar di lorong kiri.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan ambulans untuk mendapat rawatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di wad kecemasan.

“Polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan dan lokasi kemalangan bukan laluan pejalan kaki. Jarak antara laluan pejalan kaki dengan lokasi mangsa dilanggar adalah 10 meter,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, memetik Harian Metro.

Related Articles