Bapa pelajar perempuan itu, Mohd. Norjuahari Nazar, 38, berkata, anaknya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Sri Al-Amin, Bangi dekat sini disedari hilang oleh neneknya kira-kira pukul 11 pagi.
Menurutnya, sepatutnya hari ini Aliaa Syafiqah tidak ke sekolah kerana tidak terlibat dengan program di sekolahnya namun rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan anaknya masuk ke perkarangan sekolah kira-kira pukul 5.50 pagi dan beredar dua jam kemudian.
“Dalam rakaman tersebut, anak saya memakai baju dan tudung berwarna oren, seluar jean dan berpurdah. Bagaimanapun, sebelum ini anak saya tidak pernah mengenakan purdah.
“Ini kali pertama Aalia Syafiqah keluar dari rumah dan ke sekolah sendirian kerana sebelum ini, saya, datuknya atau ahli keluarga lain yang akan menghantar dan mengambilnya dari sekolah,” katanya, memetik Utusan Online.
Mohd. Norjuahari yang baru dua minggu memulakan pekerjaan di Alor Setar, Kedah berkata, rakan-rakan anaknya yang ditemui memberitahu Aliaa Syafiqah bertemu mereka dan memberi alasan datang ke sekolah hari ini untuk kali terakhir kerana selepas ini dia akan berpindah ke sekolah lain sedangkan perkara itu tidak pernah dibincangkan.
Katanya, laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu telah dibuat di Balai Polis Bangi.
Tambahnya, seluruh ahli keluarganya kini amat risau tentang kehilangan anak dan berharap Aliaa Syafiqah dalam keadaan selamat serta cepat pulang ke pangkuan keluarganya.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi saya di nombor 018-6624450,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan mengesahkan telah menerima laporan polis mengenai kejadian tersebut dan siasatan sedang dijalankan.