Pegawai Persekutuan Bertemu Wakil Kerajaan Sarawak Isu Tangguh Daftar PADU

SHAH ALAM: Pegawai Kementerian Ekonomi akan bertemu dengan wakil kerajaan Sarawak bagi membincangkan isu pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Menterinya, Rafizi Ramli, berkata ini susulan arahan agar pendaftaran PADU untuk kakitangan kerajaan negeri itu ditangguhkan.

“Sarawak antara negeri yang paling tinggi pendaftaran. Saya ingat ada beberapa pandangan daripada anggota Kabinet Sarawak yang menyebabkan arahan itu (penangguhan). Kita telah menghubungi kerajaan Sarawak, dan minggu depan kita akan duduk bersama untuk berbincang.

“Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan pendaftaran PADU bagi penduduk. Pendaftaran boleh diteruskan melalui portal PADU seperti biasa,” katanya selepas Sesi Libat Urus Bersama Menteri Ekonomi berkaitan PADU di sini, hari ini.

Media hari ini melaporkan, Sarawak meminta beberapa perubahan dibuat berkait maklumat peribadi yang diminta sistem PADU kerana mendaftar dengan PADU ibarat ‘menelanjangkan diri’ apabila mendedahkan semua butiran peribadi individu termasuk akaun bank, hartanah dan pelaburan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri baru-baru ini, berikutan timbul keraguan berhubung maklumat peribadi individu.

Dalam pada itu, Rafizi menafikan khabar angin subsidi petrol akan ditarik balik sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Tidak betul. Kalau tarikh tutup (pendaftaran PADU) pada 31 Mac, mustahil akan ada sebarang keputusan mengenai subsidi petrol dan diesel kerana terlalu dekat.

“Kerajaan juga mengumumkan sebelum ini pelaksanaan subsidi bersasar akan berlangsung pada suku kedua ke atas kerana bila kita lihat garis masa, kita memang perlukan suku pertama kira-kira empat ke lima bulan pertama untuk menyelesaikan sistem sokongan untuk bantuan kepada orang ramai,” katanya. –Berita Harian

Related Articles