Pedofilia: Saran kerajaan kaji semula Seksyen 377E

Anggota perwakilannya Norrulhuda Marsidin berkata statistik menunjukkan hampir 80 peratus kes rogol yang dilaporkan di negara ini melibatkan kenalan menerusi Internet dan majoriti mangsa berusia di bawah 18 tahun.

Beliau yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Labis, Johor berkata gaya hidup masa kini, dengan kanak-kanak terdedah kepada pelbagai aplikasi mudah alih seperti ‘WeChat’ memberi peluang kepada pedofil untuk mudah berhubung terus dengan kanak-kanak.

“Masalah ini bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah seperti rogol, tetapi juga masalah moral yang lain seperti lari dari rumah dan kelahiran anak luar nikah.

“Malah, ada juga mangsa yang tidak merasakan bahawa diri mereka adalah mangsa, sebaliknya menganggap perbuatan yang dilakukan tidak salah dan menyeronokkan. Akibatnya akan ada kitaran pedofilia dan ketagihan seks jangka panjang,” katanya semasa membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyarankan undang-undang khusus diwujudkan bagi jenayah pornografi kanak-kanak untuk membendung gejala itu daripada terus berleluasa.

Norrulhuda juga mencadangkan Kementerian Pendidikan supaya melaksanakan pendidikan seksual seawal prasekolah dan menyesuaikan kurikulum pembelajaran mengikut perkembangan awal kanak-kanak sehingga remaja bagi memberi pengajaran kepada generasi muda mengenai perkara yang terjadi di sekeliling mereka. – Bernama

Related Articles