PAU2016: Pemuda UMNO kenang jasa dan pengkhianatan Dr Mahathir

Ketua Pemuda UMNO itu berkata perjuangan politik Dr Mahathir bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya bertopengkan perjuangan demi rakyat semata-mata demi mendapatkan kuasa.

“Bahawasanya Melayu di dalam dewan ini tak mudah lupa, Melayu dalam dewan ini hormat pengorbanan Tun. Melayu dalam dewan ini ingat sumbangan Tun. Juga ingat solidariti parti mempertahankan Tun.

“Tetapi Melayu di dalam dewan ini juga ingat hipokrasi Tun. Juga ingat diktatorship Tun, juga ingat kepincangan Tun. Juga ingat penyelewengan di zaman Tun. Juga ingat semua pemimpin yang dihina oleh Tun.

“Dan yang akan kami paling ingat, yang Melayu dalam dewan ini akan sentiasa beringat, adalah pengkhianatan Tun kepada perjuangan parti ini. Keghairahan Tun tubuh parti untuk melawan kami, kesanggupan Tun menghina parti keramat ini, kerakusan Tun membunuh parti UMNO ini.

“Jasa Tun akan sentiasa kami kenang, tetapi pengkhianatan Tun, pembelotan Tun akan bermati-matian kami tentang,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Sayap Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 (PAU2016) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pagi tadi.

Khairy turut berseloroh menyindir Dr Mahathir kerana sering memutar belit dan menyebarkan fitnah yang jelas bertentangan dengan prinsipnya sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau berpesan kepada semua ahli-ahli Pemuda UMNO supaya berwaspada dengan sentimen mengenang jasa bekas pemimpin parti itu yang secara belot kepada parti Melayu itu.

“Keadaan ini bertambah bahaya sebab mungkin masih ada sentimen di kalangan penyokong ahli kita yang masih mengenang jasa mereka yang hari ini terang-terangan mengkhianati.

“Biasalah orang Melayu, tebal dengan rasa hormat dan penghargaan. Tapi ingat mereka yang pernah menjadi pemimpin kita, rakan kita suatu ketika dahulu sudah jelas menentang kita. Dalam dunia politik, kita sudah berkerat rotan berpatah arang dengan Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Kita sedang berperang. Yang menentang, kita lawan. Yang tidak ingin bersama UMNO, sila keluar sekarang, keluar dari barisan. Jangan jadi musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, api dalam sekam. Jangan jadi dayus, jangan jadi bacul. Jangan sembunyi. Kalau tak suka, lawan depan-depan,” tegasnya lagi.

Namun begitu, Khairy menyeru agar Pemuda UMNO tidak memperlekehkan PPBM yang dinaungi oleh Dr Mahathir dan dipimpin oleh Muhyiddin yang merupakan bekas Timbalan Presiden parti itu dan Mukhriz yang merupakan bekas Naib Presiden ‎yang dijangka akan menyerang kubu kuat parti itu menjelang pilihan raya yang akan datang.

“Jangan kita pandang rendah kepada parti serpihan yang ditubuhkan oleh Tun Mahathir untuk melawan kita. Suka atau tidak, jangan kita pandang enteng bahawa sasaran PPBM adalah pengundi tegar kita dan kubu-kubu kita. Mereka tidak akan bertanding di kawasan seperti Lembah Pantai, Kuantan atau Seremban.

“Sebaliknya mereka akan menyerang simpanan tetap UMNO kawasan seperti Muar, Langkawi, mungkin Rembau.

“Ahli-ahli mereka ramai terdiri daripada orang yang suatu ketika dahulu bersama kita dalam UMNO. Malah kita sudah dengar cerita bahawa ada arahan dari pimpinan PPBM untuk ahli UMNO yang sudah berpaling tadah dan mahu berhijrah kepada PPBM untuk sorokkan dahulu pengkhianatan dan hanya muncul untuk mengejutkan UMNO dengan serangan hendap ketika semboyan kempen sudah berbunyi apabila sudah terlewat untuk kita bertindak dan jentera pilihan raya dilumpuhkan oleh sabotaj dalaman,” tegasnya.

Related Articles