PAU 2016: Wanita UMNO cadang tubuh Majlis Peguam Syarie

by SM Amin

Pergerakan itu turut menyarankan institusi Mahkamah Syariah dimartabatkan selaras Mahkamah Sivil.

Sehubungan itu, pergerakan mendesak cadangan mewujudkan lima hierarki Mahkamah Syariah yang sudah diluluskan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama dipercepatkan.

Cadangan dan desakan itu antara resolusi yang diputuskan pada sidang meja bulat dihadiri pengamal dan pembuat dasar perundangan syariah negara dianjurkan Biro Perundangan dan Advokasi dipengerusikan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Azizah Mohd Dun, pada 15 November lalu.

Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata menerusi resolusi itu, cadangan supaya undang-undang berkaitan dengan pewarisan orang Islam dipinda untuk mengkhususkan isu pewarisan harta pesaka orang Islam diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan satu peruntukan penalti di dalam Undang-Undang Jenayah Syariah bagi sesiapa yang ingkar perintah.

“Saya berharap supaya resolusi ini dapat memberikan penambahbaikan kepada penguatkuasaan perundangan serta memperkasakan sistem Mahkamah dan Jabatan Syariah di negara ini.

“Wanita UMNO akan menubuhkan satu jawatankuasa pemandu sebagai tindakan susulan supaya resolusi sidang meja bulat dapat diperjuangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2016 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Related Articles