PAU 2016: UMNO bertahan kerana wala’

by SM Amin

Kata Najib, UMNO telah berjaya mengharungi tujuh dekad penubuhannya walaupun beberapa kali terjebak dalam kancah perpecahan dalam parti sehingga pernah diharamkan suatu ketika dahulu.

“Dalam episod pertembungan antara Team A dan Team B, semasa pemilihan Presiden UMNO pada tahun 1987. Siapa yang setia berada di belakang Dr. Mahathir? Kalau bukan kita, ahli-ahli UMNO.

“Hinggakan Tengku Razaleigh ketika itu berkecil hati dengan saya, atas keputusan saya dan pasukan berpihak kepada Dr. Mahathir.

“Namun ketahuilah, saya lakukan itu semata-mata berpegang atas prinsip wala’ dan tuntutan kesetiaan kepada seorang Presiden Parti, walaupun secara peribadinya saya sangat akrab dengan Tengku Razaleigh dan sehingga kini saya tetap menghormati beliau sampai bila-bila,” katanya.

Bagaimanapun kata Najib, senario politik hari ini sudah berubah apabila mantan Presiden, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah berpaling tadah terhadap parti yang pernah diterajuinya selama puluhan tahun.

“Namun, sayang sejuta kali sayang, saya secara peribadi berasa amat kecewa, dan pastinya saudara dan saudari juga berkongsi rasa kehampaan yang sama, atas apa yang sedang terjadi sekarang.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau yang pernah kita sanjung sebagai seorang tokoh dulu, kini telah tergamak dan terlibat dalam perbuatan keji dan bersubahat pula dengan pihak DAP, Perhimpunan Haram BERSIH, Parti Amanah Negara, PKR dan lebih teruk dari itu bersekongkol dengan musuh-musuh luar negara seperti Soros yang pernah dibenci dan disuruh kita benci sebagai penyangak matawang.

“Hakikatnya, inilah dia satu bentuk kemuncak penderhakaan pada UMNO, bangsa dan tanah airnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agong UMNO di PWTC pada Khamis.

Related Articles