PAU 2016: Saya tidak akan balas cacian Tun Mahathir – Najib Razak

by SM Amin

Kata Najib, beliau memilih untuk terus berjiwa besar dengan mengambil pendirian sebagai pemimpin yang matang dan tidak akan terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang menggunakan kata-kata kesat dan kasar.

“Apabila saya berjumpa ramai pihak dalam proses menyediakan ucapan ini, berbagai pandangan diterima antaranya supaya, saya tidak perlu lagi bersifat ‘gentleman’ dan berlembut.

“Sebaliknya, hendaklah sekarang ini, bernada lebih keras, menjawab cemuhan-cemuhan, segala maki hamun, dan membalas kembali cercaan serta tuduhan oleh pelbagai pihak termasuk Dr. Mahathir bersama konco-konconya itu, dengan kata-kata cacian yang juga kesat lagi kasar.

“Semakin hari, semakin saya renung semula saranan-saranan itu, saya berasakan adalah lebih baik mengambil sifat yang mulia dengan berpegang kepada pesanan Rasulullah kepada isteri Baginda Saida-tina Aisyah, agar berlembutlah dalam kata-kata, walaupun terhadap lawanmu.

“Sekalipun begitu, walau watak Melayu menolak permusuhan, setia dan sabar tiada sempadan, biar berkecai tulang, hatta hancurnya badan, pantang pendekar meninggalkan gelanggang,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO di PWTC pada Khamis.

Menurut Najib, beliau tidak perlu membuang masa dan menghabiskan tenaga untuk melayan dan melawan segelintir pengkhianat bangsa dan negara yang tidak bertanggungjawab itu.

Jelas Perdana Menteri itu, segala tuduhan dan fitnah yang dilempar terhadap beliau dan kerajaan seperti isu-isu politik, GST, rasionalisasi subsidi, 1MDB dan kos sara hidup sebahagian besar daripadanya sudah pun dijawab dengan jelas dan sedang ditangani.

“Oleh yang demikian, lebih mustahak untuk saya dan pimpinan kerajaan perbuat, adalah melaksanakan jihad yang lebih besar yakni, memilih untuk menumpukan 100 peratus kudrat diri dan seluruh keringat yang mengalir, untuk terus mara ke depan, memajukan ekonomi dan pembangunan negara, demi menjaga kepentingan sejumlah 31 juta rakyat di Malaysia,” ujarnya.

Related Articles