PAU 2016: Rakyat perlu pilih kerajaan pimpinan UMNO atau DAP

by SM Amin

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata, sekiranya negara jatuh ke tangan DAP yang memperjuangkan liberalisme melampau dan fahaman sekular berbahaya, hak dan keistimewaan yang diperjuang serta dipertahankan oleh UMNO selama ini, termasuk institusi-institusi Bumiputera seperti MARA, FELDA, RISDA, FELCRA dan TERAJU akan pupus dan lenyap.

Malah kata Najib, perlembagaan parti DAP juga tidak menyebut Islam sebagai agama Persekutuan dan usaha untuk melindungi hak dan keistimewaan orang-orang Melayu serta Bumiputera.

“Begitulah juga institusi pengajian tinggi kebanggaan orang Melayu dan Bumiputera selama 60 tahun, yakni UiTM, tidak akan lagi mampu mengekalkan falsafah penubuhannya.

“Kita sebagai umat Islam akan berasa risau, sakit hati dan marah, laksana diracun dan didamak, apabila syiar Islam dan pengamalannya akan tentu diremeh-remehkan, sekiranya DAP yang memerintah.

“Waima, institusi-institusi berkaitan Melayu Islam seperti Lembaga Tabung Haji, JAKIM, JAWHAR, Lembaga Zakat negeri-negeri akan diperlekeh dan dicabar kewujudannya.

“Oleh itu, saudara dan saudariku sekalian, kita tidak akan sesekali membiarkan kesemua ini berlaku. Bak sumpah nenek moyang kita, langkah dulu mayat saya dan semua umat Melayu, kita akan bangkit dan pertahankan habis-habisan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agong UMNO di PWTC pada Khamis.

Berbeza dengan UMNO kata Najib, parti terbesar Melayu itu amat prihatin atas keluh kesah bagi meringankan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan.

Selain itu, kerajaan juga turut membantu pembangunan dengan menyediakan RM30 juta bagi menyelaraskan pendidikan tahfiz, melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara, elaun bulanan imam dinaikkan kepada RM850 yang melibatkan 15,000 imam di seluruh negara dan juga bantuan khas one-off kepada bilal dan siak serta kenaikkan elaun bulanan guru KAFA kepada RM900, melibatkan hampir 33,000 orang guru.

“Demikianlah antara banyaknya usaha yang telah kita persembahkan demi mendahulukan kepentingan rakyat. Sekiranya rakyat dapat menjadi hakim dan memilih, DAP atau UMNO? DAP atau UMNO?

“Sesungguhnya, inilah janji-janji yang ditepati dan bukti-bukti khidmat kerajaan indukan UMNO dalam Barisan Nasional kepada rakyat, dengan sentiasa istiqamah dan wasatiyah dalam menghargai semua golongan, tanpa mengira bangsa dan agama.

“Seiring itu, kepada rakan-rakan dan saudara-saudara kita rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak, usahlah bimbang, selagi mana Kerajaan Malaysia diinduki oleh kepimpinan UMNO, maka kami akan terus berlaku adil,” ujarnya.

Related Articles