Ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata sikap sedemikian perlu dibendung kerana ia bakal menjejaskan aspirasi negara melahirkan sebuah bangsa yang hebat dalam ilmu sains dan logik pada 2050.
“Anak muda juga malas membaca. Adakah kita mahu anak muda Melayu yang harinya sudah dikira sempurna dan lengkap apabila melihat program hiburan yang ditayangkan?.
“Al-Khawarizmi, Ibnu Hayyan, Ibnu Rush, Ibnu Sina berpegang teguh kepada spiritual, tetapi tidak menafikan sains dan teknologi. Mereka menyelidik dan mereka cipta.
“Ulul Albab inilah bangsa saintifik yang kita mahu menjadi realiti bangsa Melayu,” katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2016, sebentar tadi.
Dalam pada itu Pemuda UMNO mengusulkan kepada pimpinan parti sebanyak 30 peratus calon muda dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Khairy berkata usul itu sebagai erti peremajaan menuju pilihan raya yang akan datang.
“Pemimpin yang datang dengan idea dan membawa pendekatan yang segar baharu. Calon berketrampilan dan hujah yang baharu serta mendekati rakyat dengan gerak kerja baharu.
“Saya sudah sepakat dengan Ketua Puteri UMNO bahawa Pemuda UMNO dan Puteri UMNO secara rasminya mengusulkan sasaran calon muda sebanyak 30 peratus,” katanya.