Diperkatakan sebagai perhimpunan yang terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang, pertemuan tahunan di Pusat Dagangan Dunia Putra yang akan dihadiri 5,732 perwakilan kali ini dinantikan banyak pihak yang mahu melihat apakah hala tuju UMNO dalam arena politik tempatan.
Berlatar belakang cabaran yang datang dari dalam dan luar parti serta pelbagai isu yang membelenggu rakyat, perhimpunan agung parti tunjang Barisan Nasional (BN) kali ini perlu menangani segala permasalahan yang timbul untuk membentuk mentaliti menang dan mengekalkan tampuk pemerintahan.
Fokus menghadapi PRU itu pastinya menjadi topik hangat yang akan disentuh oleh jurucakap-jurucakap yang mengambil bahagian sama ada semasa membahaskan ucapan dasar ketua sayap pergerakan masing-masing ataupun ucapan dasar presiden.
Dua pemimpin tertinggi UMNO, Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjangkakan bahawa tumpuan perhimpunan kali ini akan menekankan mengenai ke arah kemenangan UMNO dan BN pada PRU akan datang. – Bernama