PAU 2016: Jangan letak calon muda kawasan susah menang, kata Mas Ermieyati

by SM Amin

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati berkata, kajian menunjukkan faktor calon menyumbang sebanyak 60 peratus kemenangan dalam Pilihan Raya Umum.

“Selari dengan kajian tersebut, calon muda yang akan membawa nama parti juga mestilah berasaskan calon yang disukai ramai dan berkredibiliti.

“Pada masa sama, calon-calon muda yang akan bertanding juga harus diletakkan di kawasan yang sesuai dengan kecenderungan orang muda dan bukannya di kawasan yang mempunyai peluang kemenangan tipis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Mas berkata sayap Puteri dan Pemuda UMNO telah sepakat supaya kepimpinan tertinggi parti itu memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon orang muda pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Mas, cadangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk meremajakan parti dan strategi bagi meraih sokongan rakyat terutama di kalangan anak muda.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri malam tadi berjanji akan berusaha untuk mengusulkan penambahan bilangan calon dari ketiga-tiga sayap untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Related Articles