PAU 2016: Dr Mahathir hipokrit, kata perwakilan Wanita

by SM Amin

Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datin Noor Hasita Mat Isa, berkata perjuangan bekas Perdana Menteri itu selama ini tidak ikhlas.

Beliau berkata, zaman pemerintahannya hubungan dengan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang ibarat anjing dan kucing, kunyit dan kapur.

Namun katanya, kini Dr Mahathir sanggup berkongsi pentas dan ‘bercomolot’ (cium mulut) dengan Kit Siang.

“Jika dulu beliau (Mahathir) menentang demonstrasi jalanan, tapi kini sanggup menyertainya sehingga kita berasa sedih dan muak melihat perbuatannya ini.

“Jika dulu musuh beliau masuk penjara, tapi hari ini beliau mahu keluarkan (musuh) dari penjara. Apa ini? Beliau sudah lupa, sudah lupa.

“Beliau sudah lupa segala kekayaan yang beliau perolehi selama ini adalah daripada UMNO sehingga sanggup menggelar kita sebagai pemakan dedak. Adakah kita (Wanita UMNO) pemakan dedak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, sebentar tadi.

Noor Hasita turut menolak calon payung terjun daripada dipilih sebagai calon wakil rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 yang sudah semakin dekat.

Malah, beliau juga meminta kepemimpinan tertinggi supaya memilih lebih ramai calon daripada kalangan pergerakan wanita yang mempunyai ramai calon yang layak.

“Kita minta supaya permintaan untuk pastikan 30 peratus calon pilihan raya dipilih dikalangan pergerakan Wanita dapat ditunaikan. Jika boleh kita mahu lebih sebenarnya,” katanya.

Related Articles